Makna sebenar persahabatan.



       Persahabatan Pernah kita merenung dan memikirkan apa erti persahabatan. Sahabat, kawan, rakan atau teman semuanya memberi maksud yang sama. Alangkah beruntungnya kita andainya mempunyai seorang teman yang memahami kita. Seorang teman yang hanya mengharapkan kejujuran dan keikhlasan sebagai seorang sahabat. Seorang teman sejati adalah teman yang tidak pernah membuat kita rasa kecewa, sentiasa berada disisi di saat kita memerlukan, sentiasa bersedia untuk mendengar dan memberi jalan penyelesaian untuk kita. Pada masa yang sama, apa kah kita mampu untuk menjadi teman sejati kepada mereka. Adakah pernah kita membuat mereka rasa kecewa, di manakah kita di saat mereka memerlukan kehadiran kita, pernahkah kita meluangkan masa kita untuk mendengar luahan dan cerita mereka.
          
 Kadang-kadang kita asyik bercerita tentang diri kita hingga terlupa bahawa teman kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama kita. Apa yang kita lalui demi teman kadang-kadang amat memenatkan dan menyakitkan. Tetapi itulah yang menjadikan persahabatan mempunyai nilai yang indah. Persahabatan sering dihiasi dengan cubaan. Tetapi persahabatan yang sejati mampu untuk menangani cubaan itu malah berkembang mekar bersama dengannya. Bagaimana untuk mencipta keindahan bersahabat? 

 Ada dua perkara yang diperlukan iaitu pertama, rasa mencintai sahabatnya sehingga tidak rela melihat sahabatnya terjerumus dalam perkara-perkara yang tidak baik. Kedua, adalah lapang dada, iaitu sentiasa terbuka untuk menerima dan mendengar nasihat seorang sahabat. Seorang sahabat sentiasa memberi penghargaan kepada teman yang sentiasa menegur dan mengingatkan kita. Sebagai sahabat hindarilah sifat orang-orang yang sombong, mudah rasa tersinggung, kecewa, dan dendam di saat ada seorang sahabat yang mengingatkan kita. Hati yang tulus hanya akan melihat kebenaran dan kebaikan, manakala hati yang sombong amat sukar untuk menerima kebenaran biar sebaik apa pun 
kebenarannya atau sehebat manapun penyampainya.
          
 Dalam menjalin persahabatan, pupuklah semangat saling menghargai dan kejujuran kerana sahabat yang paling baik adalah sahabat yang suka berterus terang dan tidak menyembunyikan sesuatu dari kita. Mereka tidak pernah memburukkan sahabatnya di belakang mereka akan tetapi akan sentiasa cuba memperbaiki kelemahan sahabatnya. Mereka malah akan sentiasa memuliakan sahabatnya. Keikhlasan dalam persahabatan pula akan membina kesegaran pada jiwa dan akan memberi kita kebahagiaan dan ketenangan dalam menjalin persahabatan. Wujudnya sifat tidak ikhlas dalam persahabatan hanya akan merosakkan jiwa dan mengundang rasa dendam. Lakukan sesuatu dengan ikhlas bukan atas sebab lain, kerana ada sesetengah
orang memilih sahabat kerana ingin mendapat manfaat daripada persahabatan itu dan
 bukannya atas dasar keikhlasan.
          
  Sekiranya kita ikhlas, maka akan terpancarlah kebersihan hati dari wajah kita. Pada hari ini marilah kita saling mengukuhkan kembali ikatan persahabatan, pada hari ini marilah kita merungkaikan segala kekusutan, pada hari ini marilah kita saling memaafkan. “Selemah-lemah manusia ialah orang yg tak boleh mencari sahabat dan orang yang lebih lemah dari itu ialah orang yang mensia-siakan sahabat yang dicari”
 - Saidina Ali 

sumber :klik sini



No comments:

Post a Comment